Ku Li Setuju Dr. Mahathir Punca Perpecahan

Perpecahan dalaman UMNO sehingga membawa kepada pengharaman parti itu pada penghujung tahun 1980-an adalah berpunca daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perkara tersebut turut diakui oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur minggu lalu.

Dalam masa sama, veteran UMNO itu juga bersetuju bahawa Dr. Mahathir turut menjadi punca kekalahan UMNO di Kelantan pada tahun 1990.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau ada menyentuh mengenai soal kekalahan Kelantan dan perpecahan UMNO itu pada mesyuarat minggu lalu.

“Malah Tengku juga bersetuju bahawa orang yang bertanggungjawab dengan kekalahan BN (Barisan Nasional) Kelantan adalah Mahathir, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Pada tahun 1988, berlaku perpecahan di dalam UMNO selepas Tengku Razaleigh tewas kepada Dr. Mahathir dalam pemilihan jawatan Presiden parti itu selain menyebabkan UMNO diharamkan.

Berikutan itu, ramai pemimpin UMNO yang diketuai Tengku Razaleigh keluar parti dan menubuhkan Semangat Melayu 46 yang seterusnya bekerjasama dengan parti-parti pembangkang pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

Tambah Ahmad Jazlan, perpecahan dalam UMNO ketika itu disebabkan sikap Dr. Mahathir yang tidak menghormati rakan seperjuangan dan hanya memikirkan kepentingan peribadi.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, Tengku Razaleigh turut memaklumkan bahawa beliau sedia membantu Barisan Nasional (BN) menghadapi Pakatan Harapan dan menawan kembali Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Beliau sentiasa konsisten dalam soal ini dan menyatakan akan (berjuang) habis-habisan untuk pilihan raya nanti,” katanya. – 5 Disember 2017.