Jangan Ambil Kesempatan Daftar Mangsa Banjir

Individu yang tidak terjejas dengan banjir diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mendaftar sebagai mangsa bencana alam tersebut semata-mata hanya ingin mendapat bantuan wang ehsan RM500 daripada kerajaan Pusat.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya mengesan terdapat segelintir individu yang
mengakui sebagai mangsa banjir meskipun kediaman mereka tidak terjejas.

Katanya, situasi tersebut mudah terjadi memandangkan mangsa terlampau ramai dan sukar bagi agensi-agensi kerajaan membuat pengesahan mengenai status kelayakan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Dalam soal pendaftaran mangsa banjir ini, kita kena disiplin. Saya ada mendapat maklumat orang yang tidak selayaknya berpindah telah pergi ke PPS untuk mendaftar dengan tujuan mendapatkan sumbangan.

“Kita perlu bertanggungjawab, jangan merampas hak bagi mereka yang benar-benar layak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Sandang Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu.

Tambah Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Badan Perhubungan UMNO negeri, berikutan tindakan tidak bertanggungjawab itu kerajaan akhirnya yang akan dituduh sebagai tidak adil.

“Saya harap mereka yang tidak menjadi mangsa banjir ini supaya lebih bertanggungjawab dan jangan mengambil kesempatan. Biar golongan yang selayaknya sahaja menerima bantuan ini,” katanya. – 6 Disember 2017.