JPS, JKR Diminta Dalamkan Muara Sungai Golok

Kerajaan telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendalamkan muara Sungai Golok bagi mengelak masalah banjir ‘termenung’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, pihaknya mendapati masalah yang berlaku di Tumpat setiap kali hujan lebat adalah disebabkan muara sungai berkenaan yang cetek.

Katanya, ekoran daripada banjir ‘termenung’ beberapa kampung di daerah berkenaan terjejas teruk dan keadaan untuk pulih mengambil masa lama.

“Jadi kita telah minta JPS dan JKR mendalamkan muara Sungai Golok. Langkah tersebut diambil sekali gus membuktikan betapa serius kerajaan Pusat menangani masalah ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Kampung Kubang Sawa.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan gerak kerja yang dilaksanakan Nadma sepanjang banjir di negeri itu.

“Mangsa banjir mendapat pelbagai kemudahan. Keperluan makanan dan minuman diambil berat bagi kemudahan dan keselesaan mangsa,” katanya. – 6 Disember 2017.