Hamas Isytihar Intifada Baharu

Pengumuman Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel menandakan peralihan dasar Washington terhadap penyelesaian konflik Israel-Palestin.

Susulan itu, Hamas mengisytiharkan intifada pusingan baru yang ketiga dalam sejarah konflik Israel-Palestin.

Pemimpinnya, Ismail Haniyeh berkata “Baitulmaqdis telah diculik dan dirampas daripada kita,” katanya dalam satu ucapan yang disiarkan melalui Al-Jazeera.

Presiden Amerika Syarikat mengumumkan pemindahan pejabat kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, sekali gus menyimpang daripada dasar luar Washington selama ini berhubung kota suci tiga agama — Islam, Yahudi dan Kristian.

Intifada atau kebangkitan Palestin yang pertama meletus pada Disember 1987 hingga membawa kepada rundingan damai di Madrid pada 1991, dan kemudian berakhir selepas Perjanjian Damai Oslo pada 1993.

Perjanjian damai itu kemudiannya membawa kepada penubuhan Lembaga Palestin sebagai pentadbir di Tebing Barat dan Gaza, dengan kuasa yang terhad.

Intifada kedua berlaku pada September 2000 selepas perdana menteri Israel ketika itu, Ariel Sharon mengunjungi Masjid Al-Aqsa, yang dilihat satu tindakan provokasi.

Intifada kedua ini lebih tegang dan ganas berbanding yang pertama, dan memakan korban yang lebih besar.

Ketegangan itu bagaimana berakhir apabila Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Sharon bersetuju kedua-dua menghentikan keganasan.

“Gencatan” itu bagaimanapun tidak menamatkan serangan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin, termasuk serangan ke atas Gaza terutamanya selepas Hamas menang pilihan raya di wilayah itu pada Jun 2007. – Agensi, 8 Disember 2017.