Mayazia Motorsport Sasar Jual 200 Subaru Di Pantai Timur

Mayazia Motorsport Sdn. Bhd menyasarkan jualan sebanyak 200 buah kereta terbaharu jenama Subaru XV 2.0i dan 2.0i-P pada tahun depan di ne­geri-negeri Pantai Timur.

Pengarah Urusan Mayazia Motorsport, Amir Iskandar Kisham Khairul berkata, sasaran tersebut dijangka mampu dicapai memandangkan model terbaharu itu berjaya mendapat perhatian pelanggan sejak mula dilancarkan pada 30 November lalu.

Beliau berkata, bermula dengan harga sekitar RM118,000 sehingga RM131,00, kenderaan tersebut mampu dimiliki khususnya golongan pertengahan yang mengimpikan kereta ‘mewah’ dengan nilai berpatutan.

“Kenderaan tersebut memiliki pelbagai keistimewaan khususnya daripada aspek keselamatan yang dianggap terbaik selepas dilengkapi tujuh beg udara, kawalan dinamik kenderaan (VDC) dan bantuan mula mendaki.

“Ruang dalamannya juga tampak lebih selesa dan bergaya disamping tempat penyimpanan barang yang luas, rekaan stereng baharu dan pelbagai lagi keistimewaan lain,” katanya selepas majlis pelancaran kenderaan berkenaan di Kota Bharu.