Ramalan Angin Kencang, Laut Bergelora Sehingga Isnin

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka melanda perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang sehingga Isnin, 11 Disember.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Sementara itu, amaran angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Labuan dan Palawan sehingga Isnin depan.

Situasi sama turut dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman) dan Labuan pada tempoh sama.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut. – Bernama, 8 Disember 2017.