Tengkorak Manusia Ditemui Di Kebun Kelapa Sawit

Penemuan tengkorak manusia bersama tulang yang berselerakan di kebun kelapa sawit menggemparkan penduduk Kampung Staponal di Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, tengkorak itu ditemui dua remaja lelaki yang masuk ke kawasan berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi semalam untuk melastik burung.

“Kita yakin tengkorak itu telah lama berdasarkan keadaan fizikalnya. Tulang-tulang ini ditemui berselerak kemungkinan dibawa anjing liar,” katanya.

Menurut Abdullah, turut ditemui dalam sekitar 50 meter persegi penemuan tengkorak dan tulang itu ialah sebuah telefon bimbit dan topi.

Katanya, tengkorak dan tulang yang ditemui dihantar kepada pihak forensik untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi pihak polis. – 8 Disember 2017.