Bakar Gambar Zaid, Jamal Direman Bantu Siasatan

Datuk Jamal Md. Yunos direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya yang membakar gambar bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Peguamnya, Mohamad Imran Tamrin memberitahu, Jamal ditahan malam tadi dan akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana provokasi, dan Seksyen 14 Kesalahan Kecil.

Pada masa sama, beliau juga mahukan polis mengambil tindakan terhadap Zaid dengan berkata, “kami juga mahu polis mengambil tindakan terhadap Zaid di bawah Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bertindak membakar gambar Zaid selepas mendakwa ahli DAP itu menghina Sultan Selangor.

Jamal mendakwa, Zaid menerusi akaun Twitternya mempersoalkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengkritik bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan kenyataannya tentang masyarakat Bugis.

Kenyataan Zaid itu menimbulkan kemarahan banyak pihak dan menuntut beliau memohon maaf kepada Sultan Selangor.

Bagaimanapun, beliau enggan berbuat demikian dengan menegaskan dirinya tidak buat silap.

“Saya rasa saya tidak ada buat silap, minta maaf itu hanya kalau kita bersalah. Memang tweet itu saya tujukan kepada Sultan Selangor, namun apa yang kesalahan saya lakukan sehingga saya perlu memohon maaf?

“Nak kata saya bersalah atau tidak kena tunggu siasatan polis dululah, bicara di mahkamah, mahkamah tentukan.

“Polis akan siasat saya, setakat ini polis belum panggil lagi, mungkin minggu depan dan saya akan bagi penjelasan, tidak ada masalah,” katanya. – 10 Disember 2017.