Zaid Enggan Mohon Maaf, Anggap Diri Tidak Buat Salah

Datuk Zaid Ibrahim menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan biadab beliau terhadap baginda menerusi akaun Twitter meskipun menerima kecaman pelbagai pihak.

“Saya rasa saya tidak ada buat silap, minta maaf itu hanya kalau kita bersalah. Memang tweet itu saya tujukan kepada Sultan Selangor, namun apa yang kesalahan saya lakukan sehingga saya perlu memohon maaf?

“Nak kata saya bersalah atau tidak kena tunggu siasatan polis dululah, bicara di mahkamah, mahkamah tentukan.

“Polis akan siasat saya, setakat ini polis belum panggil lagi, mungkin minggu depan dan saya akan bagi penjelasan, tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Rakyat sempena perasmian PDM Wakaf Siku Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payung, Wakaf Siku.

Sebelum ini, Zaid menerusi akaun Twitternya mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lainnya menegur bekas Dr. Mahathir Mohamad berhubung tindakan bekas Perdana Menteri itu yang mengeluarkan kenyataan menghina Bugis.

Tindakan biadab itu telah mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin kemudiannya meminta Zaid agar pulang sahaja ke Kelantan jika tidak bersetuju dengan teguran baginda dalam isu Dr. Mahathir.

Pelbagai pihak turut mengecam Zaid dan mendesak beliau memohon maaf kepada Sultan Selangor.

Terdahulu ketika berucap pula, Zaid meminta rakyat Kelantan mengubah haluan memilih pakatan pembangkang diketuai DAP dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, rakyat wajar menolak PAS yang didakwanya kini dipimpin sekumpulan manusia tamak, namun masih mengganggap diri sebagai ulama.

“Zaman kepimpinan ulama PAS sudah berakhir selepas Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

“Yang ada sekarang ialah kepimpinan tamak, bukan ulama,” katanya. – 10 Disember 2017.