Mahathir, Siti Hasmah Pulangkan Dua Darjah Kebesaran Selangor

Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor memulangkan dua pingat darjah kebesaran yang dianugerahkan Istana Selangor Khamis lepas.

Tindakan itu dipercayai berkaitan kemurkaan baginda susulan kenyataannya berhubung bangsa Bugis.

Memetik laporan sebuah portal berita online hari ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Dr. Rais Husin mengesahkan perkara itu menerusi aplikasi WhatsAPP.

Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah penerima dua pingat daripada Sultan Selangor pada 1978 dan 2003.

Dalam perhimpunan Pakatan Harapan pada Oktober lalu, Mahathir dilaporkan berkata, bahawa rakyat Malaysia dipimpin perdana menteri berketurunan lanun Bugis.

Kenyataan tersebut telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk Istana Johor dan komuniti Bugis di Indonesia.

Malahan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga murka atas kenyataan Mahathir itu.

Dalam perkembangan yang sama, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah turut dilaporkan mengambil tindakan sama dengan memulangkan dua darjah kebesaran dari Istana Selangor.

Kedua-dua darjah kebesaran itu dipulangkan pada hari sama dengan Mahathir.

Difahamkan, pihak Istana Selangor dijangka mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara itu esok.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan Dr Mahathir memulangkan dua darjah kebesaran tertinggi yang diterima daripada Istana Selangor minggu lepas. – 11 Disember 2017.