Pakaian Tutup Aurat Tidak Rugikan Syarikat Penerbangan

Peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat penerbangan Malaysia tidak akan menjejaskan imej dan perniagaan syarikat terbabit.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, langkah tersebut adalah sesuatu perkara yang perlu segera dilaksanakan selain memberi imej baik kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dipandang tinggi di seluruh dunia.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mempelopori hal-hal berkaitan patuh syariah dan menjadi ikutan negara-negara Islam lain, sudah tiba masanya Malaysia perkenalkan peraturan tersebut.

“Kita sudah melaksanakan pelbagai perkara berkaitan patuh syariah ini seperti memperkenalkan Bank Islam, perbandanan halal dan banyak lagi yang diikuti negara-negara Islam lain.

“Syarikat penerbangan adalah imej kita tapi apabila pramugari berpakaian seksi dan tidak sopan, ini boleh memberi persepsi kepada pelanggan yang banyak menggunakan perkhidmatan penerbangan Malaysia ke negara ini,” katanya.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Negara semalam, Hanafi mencadangkan agar kerajaan memperkenal peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat penerbangan Malaysia selaras dengan pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Beliau dilaporkan berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan peraturan pakaian baru supaya dapat memberi gambaran Malaysia sebagai negara Islam dan memegang ciri-ciri budaya Timur yang kuat.

Mengulas lanjut, Hanafi yan juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas berkata, langkah tersebut tidak akan merugikan syarikat penerbangan kerana kualiti sesebuah penerbangan bergantung kepada perkhidmatan ditawarkan.

“Saya bangkitkan perkara ini kerana ramai khususnya masyarakat Islam yang mencadangkan agar syarikat penerbangan Malaysia segera memperkenalkan pakaian menutup aurat ini,” katanya. – 12 Disember 2017.