Pelbagai Kementerian Rangka Dasar Industri 4.0 Kebangsaan

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang menyelaras lima kumpulan kerja merangkumi pelbagai kementerian bagi menghasilkan rangka kerja dasar Industri 4.0 Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, draf pertama dokumen itu telah dibentangkan kepadanya dan akan dikemukakan kepada kerajaan menjelang akhir Januari tahun depan.

“Saya berpuas hati dengan perkembangan itu dan kita akan cuba menyiapkannya dalam tempoh sasaran iaitu suku pertama tahun depan dan April dilihat sebagai (tempoh) paling sesuai,” katanya.

Kementerian terbabit adalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam perkembangan berasingan, Mustapa memberitahu, beliau tidak akan menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada tahun depan berikutan komitmen kerja setelah menghadiri acara itu sejak 2010 sehingga 2017.

“Pilihan raya (umum) akan tiba dan saya pula merupakan Pengerusi Barisan Nasional Kelantan. Banyak tugas yang perlu saya lakukan,” katanya. – 12 Disember 2017.