UMNO Kelantan Akur Siapa Calon

UMNO Kelantan sudah bersiap sedia dalam semua aspek bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, persediaan tersebut bukan sahaja untuk PRU-14, malah pihaknya turut bersedia jika diberi mandat untuk mentadbir negeri itu.

“Dari segi persediaan, UMNO negeri benar-benar bersedia dari segala sudut termasuk dari segi penyusunan jentera, persefahaman di antara ahli-ahli parti dan pelbagai aspek lain.

“Perkara itu juga turut dikuatkan lagi dengan solidariti dan persepakatan yang ada dalam kepimpinan UMNO negeri yang kini berada pada tahap yang cukup tinggi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita Selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Seragam Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan Bandar, di Machang hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, UMNO negeri juga menerima dengan hati terbuka sesiapa sahaja yang akan dicalonkan untuk PRU-14 nanti.

“Soal siapa yang akan menjadi calon tidak penting kerana kita tidak memikirkan soal itu.

“Kita akur dan patuh dengan apa jua keputusan yang dibuat kerana soal siapa calon bukan matlamat kita,” katanya. – 13 Disember 2017.