Annuar Maafkan, Fokus Kepada Tugas

Tan Sri Annuar Musa tidak berdendam dan sentiasa memaafkan mereka yang memfitnahnya dalam isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan sehingga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Pengerusi Mara itu berkata, beliau mahu melupakan perkara tersebut dan akan memfokuskan kepada tugasan yang lebih besar sebagai Ketua Penerangan UMNO.

“Yang pertama, saya bersyukur SPRM sendiri yang keluarkan kenyataan. Saya berterima kasih kepada SPRM. Pihak berkenaan telah menjalankan tugas dengan cekap dan cepat.

“Saya fikir, kita kena pandang ke hadapan. Saya juga tak mahu panjang-panjangkan hal ini. Saya pun tahu awal lagi, ini bukan perkara yang saya lakukan.

“Saya pun maafkan mereka yang tersalah cakap, membuat kenyataan termasuk berkaitan duit tajaan dan paksaan, tiada langsung sebenarnya,” katanya.

SPRM memaklumkan Annuar tidak akan didakwa berhubung isu berkenaan kerana bukti tidak mencukupi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihak pendakwa raya meneliti kertas siasatan isu berkenaan, dan mendapati keterangan diambil serta bukti dikumpulkan tidak mencukupi untuk mendakwa Annuar. – 14 Disember 2017.