Dr. Mahathir Ada Agenda Tersembunyi, Cuba Cabar Institusi Diraja

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad memulangkan kembali darjah kebesaran yang diterima daripada Sultan Selangor disifatkan sebagai cubaan bekas Perdana Menteri itu untuk mencabar institusi diraja.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam masa sama, Dr. Mahathir itu juga dilihat seperti mempunyai niat dan agenda tertentu bagi membangkitkan kemarahan rakyat untuk tidak lagi mempercayai sultan.

Katanya, tindakan Dr. Mahathir ini bukan perkara kecil meskipun dalam bentuk pemulangan pingat kerana beliau seolah-olah cuba memberi tekanan terhadap institusi tersebut.

“Bagi sesiapa yang rapat dengan bekas Perdana Menteri itu sudah tentu akan memahami sikap dan caranya yang sentiasa mempunyai strategi serta tujuan tertentu setiap kali melakukan sesuatu perkara.

“Sebenarnya Dr. Mahathir ada mesej dan strategi tersembunyi yang cuba dilakukan bagi membangkitkan kebencian kepada institusi diraja
kerana beliau tahu mempunyai sokongan daripada luar khususnya DAP,” katanya.

Kelmarin Istana Selangor mengesahkan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali telah memulangkan kembali darjah kebesaran yang diterima daripada Sultan Selangor pada Khamis lalu.

Istana dalam kenyataan menerusi Setiausaha Dewan di Raja Selangor, Hanafisah Jais dilaporkan berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima kembali pemulangan darjah-darjah tersebut tanpa sebarang halangan.

Mengulas lanjut Annuar berkata, sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan itu merasakan penghargaan tersebut tidak penting beliau perlu memulangkan semua pingat yang diterima daripada raja-raja Melayu. – 15 Disember 2017.