BN Di Landasan Terbaik Lakukan Perubahan Kelantan

Perubahan iklim politik sedang melanda seluruh negara dan Kelantan juga tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.

Sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) kini berada di landasan terbaik untuk membuat perubahan di Kelantan termasuk menawan Parlimen Kota Bharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, peluang untuk mana-mana parti yang bertanding di parlimen ini adalah sama rata, termasuk DAP yang dikatakan mahu mencuba nasib bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama.

“DUN Kota lama secara tradisi milik MCA, jadi tidak kira siapa lawannya, sama ada DAP, PAS, PAN, PKR atau PPBM, kita lawan. Namun kita tidak akan memandang rendah kemampuan jentera pihak lawan.

“Semua sedia maklum perubahan iklim politik sekarang, jadi peluang yang kita ada amat baik sekali. Tinggal kerja keras sahaja kerana kejayaan tidak datang bergolek.

“Jentera BN sama ada UMNO, MCA, MIC dan Gerakan akan bekerjasama dan pastikan kemenangan milik kita,” katanya ketika ditemui dalam sesi Town Hall bersama masyarakat Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Cheng, di Kota Bharu.

Sesi Town Hall itu turut dihadiri Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam pada itu, Mohamad Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, sesi Town Hall dan turun padang itu meliputi ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Kota Bharu iaitu DUN Kota Lama, Tanjong Mas dan Bunut Payung.

“Program hari ini merupakan program sehari suntuk dari pagi hingga ke malam di ketiga-tiga DUN dan melibatkan kesemua 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kota Bharu.

“Komitmen padu Datuk Seri Mustapa sebagai orang nombor satu BN Kelantan menunjukkan keyakinan kita dan pimpinan tertinggi bahawa Parlimen Kota Bharu dan ketiga-tiga DUN ini mampu menjadi milik BN dalam PRU-14,” katanya.

Terdahulu ketika sesi turun padang bertemu rakyat, rombongan diketuai Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut meluangkan masa menziarahi seorang warga emas yang menghidap kencing manis, Teo Chai Huai, 62 di rumahnya di Jalan Kelochor, di sini. – 16 Disember 2017.