Dr. Mahathir Pakar ‘U-Turn’

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pakar ‘U-turn’ terbaik negara berikutan pendirian terbaharunya yang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.

Beliau berkata, tindakan Dr. Mahathir sememangnya sudah dijangka memandangkan sebelum ini bekas Perdana Menteri itu sudah berulang kali membuat pusingan U membabitkan pelbagai perkara termasuk bekerjasama dengan DAP.

Katanya, Dr. Mahathir perlu ingat beliau adalah orang yang bertanggungjawab memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menuduh Penasihat PKR itu melakukan jenayah liwat dan pelbagai lagi perkara lain yang menjijikkan.

“Matlamat Dr. Mahathir ini tidak lain tidak bukan adalah untuk jatuhkan Perdana Menteri dan menaikkan individu-individu tertentu seperti anak dia, konco-konconya dengan sanggup melakukan apa sahaja.

“Demi mencapai matlmat, Dr. Mahathir sanggup jilat kembali segala tuduhannya terhadap Anwar,” katanya selepas menyertai sesi Town Hall bersama pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO dan warga Kota Bharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Ketua Pengerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd. Azam Ismai; dan pemimpin-pemimpin setempat.

Kelmarin, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menggesa agar Anwar segera dibebaskan dari penjara.

Dr. Mahathir membuat gesaan tersebut menerusi satu kenyataan bersama dengan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley dengan meng­anggap Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Mohamad Fatmi bersama pemimpin UMNO Bahagian Kota Bharu turun padang menziarahi beberapa buah rumah di kawasan Bunut Payong.

Beliau dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu meluangkan masa lebih satu jam mengunjungi kira-kira lapan buah rumah terdiri daripada kediaman keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah; pemimpin akar umbi PAS kawasan berkenaan; pesakit kronik dan penduduk sekitar.

Selain beramah mesra dan bertanya khabar, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit.

Lawatan tersebut adalah bersempena dengan program sehari Mustapa atau Tok Pa bersama pemimpin UMNO Kota Bharu.

Selain program ziarah, Mustapa dan Mohamad Fatmi juga menyertai sesi Town Hall bersama pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO dan lebih 500 warga Kota Bharu yang memenuhi segenap ruang dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota. – 16 Disember 2017.