PM Adakan lawatan Rasmi Ke Sri Lanka, Maldives Mulai Esok

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Sri Lanka dan Maldives mulai esok.

Perdana Menteri akan berada di Sri Lanka hingga 19 Disember dan Maldives bermula 19 hingga 20 Disember ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan tersebut atas undangan Presiden Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka, Maithripala Sirisena dan Presiden Republik Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom.

“Lawatan kali ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB Perdana Menteri ke Sri Lanka dan Maldives,” kata kenyataan itu.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka.

Najib akan diiringi isteri, Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Di Colombo, Sri Lanka, Perdana Menteri dijadual menghadiri upacara sambutan rasmi disusuli mesyuarat empat mata dan mesyuarat dua hala dengan delegasi kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian antara kedua-dua negara dalam bidang latihan, sains dan teknologi, komunikasi dan bio-ekonomi.

Presiden Sri Lanka akan meraikan Najib dan Rosmah dalam satu majlis makan tengah hari rasmi sebagai tanda penghormatan kepada mereka.

Najib turut dijadual menghadiri mesyuarat meja bulat dengan ahli-ahli perniagaan Sri Lanka dan mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Sri Lanka.

Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari sempena lawatan Najib pada hari berikutnya.

Menurut kenyataan itu, satu pertemuan antara Ketua Menteri Provinsi Utara Sri Lanka dan Najib turut diatur.

“Lawatan Najib ke Sri Lanka akan memberi peluang kepada kedua-dua negara membincangkan pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, kesihatan dan sumber manusia serta isu-isu kepentingan dalam kerjasama serantau dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, di Malé, Maldives pula, Perdana Menteri akan diberikan majlis sambutan negara diikuti oleh mesyuarat empat mata dan mesyuarat dua hala dengan delegasi dari kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian beberapa MOU antara kedua-dua negara dalam bidang kesihatan, pelancongan, kebombaan dan penyelamatan serta pendidikan tinggi.

Satu sidang akhbar bersama akan diadakan sebelum majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Presiden Maldives sebagai tanda penghormatan kepada Najib dan isteri.

Kedua-dua pemimpin itu dijadual mengadakan perbincangan mengenai pelbagai kerjasama yang meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, kesihatan serta isu-isu berkepentingan bersama dalam kerjasama serantau dan antarabangsa.

Malaysia yakin lawatan Perdana Menteri ke Sri Lanka dan Maldives kali ini bakal meningkatkan kerjasama sedia ada, bukan sahaja dalam skop dua hala tetapi juga dalam isu serantau dan antarabangsa. – 16 Disember 2017.