Baitulmuqaddis: Najib, Hadi Bakal Sepentas Lagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka berkongsi pentas lagi dalam perhimpunan berhubung isu kepentingan umat Islam.

Kali ini berhubung isu Baitulmuqaddis di Palestin dan perhimpunan tersebut bakal diadakan pada 22 Disember ini di Putrajaya.

Ketika bercakap kepada pemberita di Manama hari ini, Najib berkata, UMNO dan PAS perlu bersama-sama mencari jalan untuk menangani isu berkenaan.

“Perlu ada pendirian bersama apabila ia melibatkan isu kepentingan Islam dan umatnya,” katanya.

Najib berkata, beliau akan menjelaskan tentang pendirian Malaysia berhubung perkara itu sekali gus mengutuk tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel menimbulkan kemarahan dan kutukan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Akhir tahun lalu, pemimpin kedua-dua parti itu pernah berada sepentas bagi membantah penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar. – 17 Disember 2017.