MCA Kata Kit Siang Tidak Layak Jadi PM

MCA berpendapat Lim Kit Siang tidak layak untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke – 14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Ahli Parlimen Gelang Patah itu tidak mempunyai prinsip dan hanya membawa kehancuran kepada kaum dan negara sekiranya dilantik sebagai perdana menteri.

“Hanya beliau (Kit Siang) sendiri yang tahu sama ada beliau memang bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

“Yang kita tahu, beliau tidak boleh dipercayai. Kita yakin beliau akan bawa kepada perpecahan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat dilaporkan mengakui sikap Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai punca beliau meninggalkan DAP.

Beng Huat yang berkhidmat sebagai ADUN selama satu penggal sejak 2008 berkata, beliau melihat Kit Siang cuba membina ‘dinasti keluarga’ dalam parti itu sehingga timbul pelbagai isu dan masalah.

Katanya, memang terdapat ‘cakap-cakap’ di dalam DAP mengatakan Kit Siang mahu menjadi perdana menteri walaupun Ahli Parlimen Gelang Patah itu menafikan ada berniat demikian.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rakyat perlu menolak pemimpin DAP yang bercita-cita mahu menjadi perdana menteri kerana bukan sahaja bercanggah dengan ketetapan Islam sebagai Agama Persekutuan, tetapi juga hakikat parti itu gagal menjadi kerajaan bersih.

Dalam pada itu, Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, veteran DAP berkenaan bijak memanipulasi politik dan sentiasa berusaha apa sahaja demi mencapai hasratnya.

Jelasnya, sebelum ini, Kit Siang sanggup menyokong PAS untuk meyakinkan rakyat, namun kini beralih memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Apabila PAS tidak mengikut telunjuk beliau (Kit Siang), beliau menggunakan Tun Dr Mahathir pula. Beliau pandai guna seseorang demi kepentingan politik beliau.

“Beliau sememangnya tidak boleh dipercayai dan hanya omong-omong kosong tanpa ada prinsip,” katanya. – 18 Disember 2017.