SME@Universiti Tingkatkan Prestasi PKS

Sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu, program SME@Universiti anjuran SME Corp Malaysia (SME Corp) di 10 universiti tempatan berjaya memberi manfaat kepada 846 usahawan dalam pelbagai bidang di seluruh negara.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Keusahawanan SME Corp, Zaky Moh berkata, SME@Univerisiti merupakan kursus jangka pendek selama tiga bulan melibatkan para usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Program SME@Universiti pada awalnya dijalankan bersama lima buah univerisiti sebelum bertambah kepada 10 universiti berikutan sambutan positif diterima.

“Sejak diperkenalkan sehingga sekarang, program ini ternyata membantu para usahawan meningkatkan pengetahuan perniagaan terutama dari sudut pemasaran kreatif, strategi pertumbuhan perniagaan dan rangkaian perniagaan inovatif,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi UMK@UMK 2017 melibatkan 23 peserta hari ini.

Majlis Graduasi tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd. Osman.

Zaky dalam pada itu berkata, bagi meneruskan kesinambungan pembelajaran peserta SME@Universiti, pihak SME Corp dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) memperkenalkan dua kursus lanjutan.

Katanya, kursus tersebut ialah Program Pembangunan Pengurusan Kanan (SMDP) dan Kursus Lanjutan SME@Universiti di Jepun.

“SMDP dianjurkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi berprestij seperti European School Management of Technology, Cranfield University, Oxford University, University of Cambridge dan University of York.

“Kursus Lanjutan SME@Universiti di Jepun pula diperkenalkan sejak 2013 dengan kerjasama Pusat Sokongan PKS Jepun dan Institut Latihan PKS Tokyo,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hassan berkata, impak SME@Universiti tidak boleh dilihat dalam tempoh masa singkat, sebaliknya memerlukan empat hingga lima tahun sebelum benar-benar memberi manfaat kepada para peserta.

“Kajian dilakukan secara jelas menunjukkan PKS yang kerap menerima latihan dan khidmat nasihat mempunyai prestasi dan pertumbuhan jauh lebih baik berbanding PKS lain,” katanya. – 18 Disember 2017.