3,500 Sahabat Gerah Di Kelantan

Sebanyak 3,500 orang terdiri daripada pelbagai peringkat khususnya penjawat awam telah mendaftar sebagai ahli Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di Kelantan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, jumlah tersebut dijangka terus bertambah berikutan tahap kesedaran orang ramai yang semakin tinggi terhadap usaha memerangi rasuah.

Beliau berkata, sahabat Gerah ini akan terus memainkan peranan penting selain menjadi mata dan telinga kepada SPRM di samping menyumbang tenaga, masa serta idea dalam usaha pencegahan rasuah.

“Bermula tahun depan kita akan terus mempertingkat kempen melalui ahli-ahli Gerah ini. Kita harap dengan kerjasama ini akan memudahkan kita bertindak terhadap pesalah rasuah.

“Saya juga ingin menyeru supaya lebih ramai pihak menjadi sahabat Gerah,” katanya selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri hari ini. – 19 Disember 2017.