SPRM Siasat Exco Selangor

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang menyiasat seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor dan 14 indidividu berhubung dakwaan penyelewengan tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

Memetik laporan berita online, suruhanjaya itu juga turut merampas dokumen daripada pejabat beberapa exco sejak minggu lalu dan akan memanggil lebih ramai saksi bagi membantu siasatan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, mengesahkan bahawa siasatan itu melibatkan kes pemberian 153 lot tanah di kawasan terbabit.

“Kita masih dalam proses mengumpul bahan bukti. Pegawai kita sekarang sedang meneliti dokumen-dokumen yang dirampas daripada pejabat tanah Kuala Selangor dan pejabat beberapa exco Selangor yang diserbu minggu lalu,” katanya seperti dipetik portal berkenaan.

Kontroversi Kampung Sungai Yu tercetus berikutan aduan beberapa pihak yang tidak berpuas hati pemberian 153 lot tanah berkeluasan 14.4 hektar yang dipohon 175 keluarga Oktober lalu.

Perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menjalankan inkuiri.

Pada 8 Disember lalu, SELCAT mengumumkan bahawa roses pemberian milikan tanah Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor kepada 175 pemohon itu didapati tidak mematuhi syarat. – 19 Disember 2017.