TPM Ajak Pembangkang Sertai Himpunan Pertahan Baitulmaqdis

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pembangkang menyertai perhimpunan besar-besaran di Masjid Putra, Jumaat ini, bagi mempertahankan Baitulmaqdis.

Beliau berkata, perhimpunan itu ialah pentas untuk semua pihak, termasuk parti pembangkang untuk menunjukkan solidariti mereka terhadap isu Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kita tidak ada hubungan diplomtik dengan Tel Aviv atau Israel, kita menghormati hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), tetapi apabila hak kota suci umat Islam diceroboh dengan hasrat untuk melenyapkan sirah kota suci Islam, Kristian dan agama Yahudi ortodoks asal, ertinya rejim Israel cuba memadamkan sejarah.

“Kita di Malaysia dengan masyarakat berlatar belakangkan komposisi kaum, budaya dan agama berbeza tidak pernah mempromosikan perbezaan, tetapi kemajmukan masyarakat harus dipertahankan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta NGO Islam dan bukan Islam dijangka menyertai perhimpunan tersebut.

Zahid berkata, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah bersetuju menyertai perhimpunan itu dan 10,000 orang dijangka hadir.

Menurut beliau, surat jemputan kepada semua pimpinan pembangkang telah dihantar petang semalam.

Semalam, Washington menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dibentangkan Mesir bagi membatalkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden AS, Donald Trump.

Seramai 14 ahli Majlis Keselamatan PBB menyokong draf resolusi dalam sesi pengundian, tetapi diveto Duta AS ke PBB, Nikki Haley.

Draf resolusi itu antara lain menekankan status akhir Baitulmaqdis perlu ditentukan melalui rundingan Palestin dan Israel sejajar keperluan resolusi PBB dan semua negara perlu mematuhi 10 resolusi yang diluluskan sejak 1967. – 19 Disember 2017.