Warga Emas Ditipu Macau Scam

Seorang warga emas dari Tanah Merah, Kelantan berputih mata apabila rugi sebanyak RM40,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada bulan lepas.

Lebih menyedihkan lelaki berusia 60 tahun itu telah memindahkan wang simpanannya yang ingin digunakan untuk membeli rumah kepada sindiket tersebut yang menyamar sebagai pegawai bank dari Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintenden Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, kes bermula apabila sindiket itu telah memaklumkan melalui panggilan telefon kononnya mangsa mempunyai tunggakkan pinjaman peribadi.

Malah katanya, sindiket itu juga telah mengugut mangsa bakal ditangkap pihak polis dan direman selama 45 hari sekiranya gagal menjelaskan tunggakan pinjaman tersebut.

“Sindiket tersebut telah mengarahkan mangsa berhubung dengan pihak polis Bukit Aman untuk menyelesaikan kes tersebut sebelum menyambungkan talian seorang lelaki yang mendakwa Inspektor Hisyam.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang simpanannya sebanyak RM40,000 ke sebuah akaun bank milik persendirian sebagai jalan penyelesaian kes itu,” katanya.

Tambah Mohamed Zulmazi, takut dengan ugutan tersebut, mangsa kemudian memindahkan wang tersebut dan dalam masa sama, sindiket itu mengarahkannya agar tidak mengadu kepada mana-mana pihak dengan alasan tidak mahu menggangu siasatan polis.

“Mangsa yang menyedari telah ditipu selepas tamat panggilan terus melaporkan kejadian berkenaan di balai polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – 19 Disember 2017.