Heroin Bernilai RM218,000 Dirampas, 4 Sekeluarga Ditahan

Polis Kelantan berjaya merampas sebanyak 109 botol dadah jenis heroin seberat 436 gram yang dianggarkan bernilai RM218,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya, Banggol Kulim, Rantau Panjang kelmarin.

Empat sekeluarga terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 16 hingga 40 tahun turut ditahan dalam serbuan pada pukul 4 petang tersebut yang dilakukan sepasukan anggota dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan, suspek utama lelaki bekerja sebagai buruh berusia 23 tahun ditahan bersama kakaknya berusia 40 tahun serta dua anak saudara mereka, masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 18 dan 16 tahun.

“Ketika serbuan, suspek lari dan bersembunyi dalam bilik air di rumahnya sebelum mencampakkan satu bungkusan surat khabar yang mengandungi dadah di atas bumbung rumah jiran.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan bersama satu beg hitam mengandungi dadah jenis heroin dan kita menjumpai satu bungkusan berisi dadah jenis sama di atas bumbung rumah jirannya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bekalan dadah diambil dari seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Pak Ya’ menerusi pangkalan haram di Rantau Panjang untuk pasaran di Kelantan.

Katanya, suspek yang aktif mengedar dadah sejak dua bulan lalu mengambil upah sebanyak RM250 untuk melakukan kegiatan tersebut.

“Empat sekeluarga ini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hasanuddin turut memberitahu, dalam tempoh Januari hingga hari ini, sebanyak 13,838 kes kesalahan dadah direkodkan di seluruh negeri dengan tangkapan 16,334 orang membabitkan nilai rampasan lebih RM11.6 juta. – 20 Disember 2017.