Jambatan Salor- Pasir Mas Dibuka Selama Dua Minggu

Jambatan Salor – Pasir Mas berhampiran Bulatan Lemal yang masih dalam proses pembinaan akan dibuka selama dua minggu bagi melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan khususnya melibatkan pengguna berulang alik ke Pasir Mas, Tanah Merah dan Rantau Panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, serentak dengan itu, kerja-kerja perlaksanaan jambatan tersebut yang sudah 60 peratus siap akan dihentikan buat sementara waktu.

Katanya, laluan sepanjang 270 meter itu mula dibuka esok dan sepanjang tempoh tersebut pekerja dari Jabatan Kerja Raya (JKR) akan ditempatkan di kawasan berkenaan bagi mengawal keadaan.

“Tujuan kita membuka laluan tersebut adalah bersempena dengan musim buka sekolah di mana ia bakal memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah tanpa perlu berdepan dengan masalah kesesakkan lalu lintas,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini.

Tambah beliau, jambatan bernilai RM114 juta termasuk pembinaan persimpangan bertingkat di Bulatan Lemal itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2019.

“Jambatan tersebut yang mula dilaksanakan sejak tahun lalu sepatutnya siap pada awal Januari tahun depan bagaimanapun disebabkan beberapa masalah ia terpaksa mengambil masa untuk siap,” katanya. – 20 Disember 2017.