PAS Kata PAN Bukan Cabarannya

PAS tidak gentar cabaran PAN yang berhasrat meletakkan calon di semua kawasan di Kelantan sebaliknya menganggap saingan sebenar parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah Barisan Nasional (BN).

Setiausa PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, PAN sebenarnya bukan cabaran memandangkan terdapat sebahagian pengikut parti serpihannya itu sudah kembali kepada PAS.

Malah beliau berkata, pihaknya yakin penyokong PAS akan tetap setia dengan parti itu selain berharap hampir 40 pengundi atas pagar cenderung memilih PAS dalam pilihan raya nanti.

“Kita yakin pengundi atas pagar dalam suasana kebencian terhadap UMNO akan memberi sokongan kepada PAS untuk terus memerintah Kelantan.

“Ini kerana, lebih 30 peratus pengundi PAS tidak dilihat pergerakannya lari daripada PAS manakala pengundi atas pagar mungkin beberapa peratus saja beralih ke parti lain. Malah, jika tiga penjuru sekalipun, kelebihan masih memihak kepada PAS,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco hari ini.

Tambah Che Abdullah, rakyat di negeri itu dilihat tiada keperluan untuk mengundi parti lain sebaliknya akan terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan PAS Kelantan.

“Tiada sebab pengundi PAS mahu menjatuhkan kerajaan negeri, malah sebahagian pengikut pemimpin PAN sudah kembali semula kepada kita,” katanya. – 20 Disember 2017.