Air Zam Zam Palsu

Air zam zam bukan sumber alam untuk dikomersial bagi mengaut keuntungan semata-mata, kata Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Malah, Mufti Perlis itu menegaskan, air zam zam yang dijual secara komersial di rata-rata kedai dalam negara ini, itu kebanyakannya palsu.

Beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi memberi air zam zam secara percuma bukan untuk tujuan komersial.

“Arab Saudi sendiri beri secara percuma kepada umat Islam. (Jadi) kenapa ada pihak yang mengambil kesempatan berniaga.

“Tiada air zam zam yang dieksport oleh Saudi untuk tujuan perniagaan, maka air (zam zam) yang banyak yang dijual selama ini diambil dari mana?,” katanya.

Beliau mengingatkan, rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan yang tidak membenarkan penjualan air zam zam di kedai-kedai seluruh negara.

“Rakyat hendaklah patut kepada arahan Kerajaan. Ini kerana air zam zam yang dijual secara komersial itu kebanyakannya palsu.

“Patuhi arahan kerajaan (ini) kerana jika tidak, ia akan menggalakkan penipuan,” jelasnya. – 21 Disember 2017.