Ancom Kata Tindakan Trump Tidak Adil

Persatuan Generasi Seterusnya Kristian Malaysia (Ancom) turut menyertai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra untuk menunjukkan sokongan mereka ke atas rakyat Palestin.

Presidennya, Joshua Hong berkata, mereka beranggapan tindakan Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai tidak wajar selain kerana politik semata-mata.

“Bagi kami penganut Kristian, Baitulmaqdis ialah sebuah bandar yang aman, namun selepas pengumuman itu dibuat, kami rasa tiada lagi keamaanan.

“Saya rasa ia tidak betul dan tidak adil. Kami percaya kita semua perlu teruskan mencari penyelesaian yang aman buat Palestin dan Israel berbanding satu negara tunggal yang membuat pengiktirafan dengan begitu sahaja,” kata.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri himpunan tersebut di Masjid Putra hari ini.

Menurut Hong, kira-kira 50 anggota Ancom hadir untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Barisan Nasional sebagai solidariti menentang keputusan Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – 22 Disember 2017.