Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis

Lebih 600 orang berkumpul secara aman sempena Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Dataran Rehal berhampiran Masjid Muhammadi di Kota Bharu hari ini.

Perhimpunan anjuran Pemuda UMNO negeri dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan itu diadakan sejurus selepas solat Jumaat yang bertujuan membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Para peserta juga dilihat turut membakar dan memijak bendera Israel sebagai tanda protes kekejaman negara berkenaan terhadap Palestin selama ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohammad Azam Ismail berkata, perhimpunan tersebut diadakan bagi menyuarakan suara hati orang muda di Kelantan terhadap isu Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis.

“Kami juga prihatin dengan isu-isu kemanusiaan dan sejagat. Mungkin kita tiada kekuatan senjata dan ekonomi tetapi kita ada kekuatan untuk terus bersatu,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan tersebut.

Tambah Mohammad Azam, beliau yakin perhimpunan secara besar-besaran yang turut diadakan di seluruh negara itu mampu memberi tekanan kepada Presiden AS supaya menarik balik pengisytiharan  Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Sementara itu, di perkarangan Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian kira-kira 500 jemaah bersama 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengadakan perhimpunan yang sama.

Perhimpunan tersebut diketuai Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK).

Antara NGO lain turut terbabit ialah Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan, Persatuan Orang Kota Bharu dan Biro Aduan Masyarakat Malaysia.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, solat hajat ini susulan pengumuman Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel baru-baru ini.

Katanya, tindakan Trump itu amat tidak wajar, sekaligus menafikan hak kedaulatan negara Palestin termasuk menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia selain bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Perhimpunan ini sebagai tanda solidariti umat Islam sejagat terhadap nasib saudara seagama yang tertindas di bumi Palestin.

“Baitulmaqdis merupakan masjid ketiga paling penting generasi umat Islam. Namun, tindakan Trump itu nampaknya semakin rakus ingin merampas Baitulmaqdis sebagai hak Palestin.

“Jadi saya rasa ini bentuk perpaduan kita sebagai umat Muslim untuk membela Palestin,” katanya. – 22 Disember 2017.