Tidak Gadai Kewajipan Biarpun Trump Kawan Baik

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertegas bahawa tidak akan menggadai kewajipannya untuk mempertahankan kota suci Islam Baitulmaqdis biarpun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump adalah kawan baiknya.

“Ya saya disambut baik di Rumah Putih. Ya, Donald Trump kawan baik saya. Ya, walau apapun saya takkan gadaikan kesucian Islam dan kewajipan.

“Wajib kenapa? Jangan lupa prinsip maqasid syariah menjaga, memelihara agama. (Prinsip) Nombor dua baru nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Pada masa sama beliau menempelak Trump bahawa Malaysia tidak meminta sedekah daripada AS sebaliknya telah menjadi salah satu tempat bergantung harap kepada negara besar itu.

“Malaysia bukan negara yang mintak sedekah daripada negara lain. Kita ada maruah kita, kita ada dignity kita. Bila pernah kita buat loan (pinjaman kewangan) daripada Amerika Syarikat?

“Malah dalam banyak hal Amerika Syarikat yang minta kita. Mintak kita beli kapal terbang, minta kita melabur dalam negara mereka,” katanya. – 22 Disember 2017.