Rakyat Israel Desak Netanyahu Letak Jawatan

Penduduk Israel hari ini, buat minggu keempat berturut-turut mengadakan bantahan di Tel Aviv bagi mendesak pengunduran kerajaan dan pemimpin “korup” negara itu.

Di Baitulmaqdis, ratusan orang juga menyertai bantahan menentang agensi pencegahan rasuah yang diketuai bekas kakitangan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Penganjur Yoaz Hendel berkata, bantahan di Baitulmaqdis itu adalah “sokongan kepada penguatkuasaan undang-undang”.

Bantahan itu berlaku tidak lama selepas Netanyahu mengecam polis, menuduh mereka menyiasatnya supaya dia meletakkan jawatan.

Netanyahu disoal siasat tujuh kali sejak beberapa tahun lepas berkaitan dua siasatan rasuah.

Pembantah di Tel Aviv membawa sepanduk menggesa pengunduran “menteri jenayah” dan ahli kerajaan Netanhayu yang “korup”.

Di Baitulmaqdis, salah sebuah sepanduk berbunyi: “Kita ada hak politik bersih”.

Bercakap pada bantahan di Baitulmaqdis, bekas Menteri Pertahanan Moshe Yaalon berkata, korupsi sangat merisaukannya berbanding perkara lain.

“Ia lebih bahaya berbanding ancaman Iran. Hezbollah, Hamas atau IS”, katanya tanpa menyebut nama Netanyahu.

“Korupsi adalah wabak,” katanya lagi “wabak yang perlu disembuhkan dengan memilih dan melantik orang yang jujur.”

Netanyahu berulang kali menafikan wujudnya salah laku dan mengatakan dia menjadi sasaran musuh politiknya.

Siasatan pertama melibatkan dakwaan yang dia menerima hadiah daripada personaliti kaya termasuklah rakyat Australia James Packer dan penerbit Hollywood, Arnon Milchan.

Dalam kes kedua pula, polis mengesyaki Netanyahu mahu mengadakan kerjasama sulit dengan akhbar terkenal Israel, Yediot Aharonot supaya membuat liputan memihak kepadanya.

Perdana menteri berusia 68 tahun itu masih belum didakwa secara rasmi, tetapi laporan menyebut polis sedang membina kes untuk disyorkan kepada menteri hakiman bagi pendakwaan. – AFP, 24 Disember 2017.