Imam Cabul Kanak-Kanak

Seorang imam warga Kemboja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Nory Kai, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Dia didakwa dengan sengaja menyentuh kemaluan dan mencium pipi kanan, kiri serta mulut mangsa berusia lapan tahun itu di sebuah musalla di Wakaf Stan, pada 11 Disember 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Fellina Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes. – 25 Disember 2017.