Isa Sedia Beri Keterangan Apabila Dipanggil

Tan Sri Mohd Isa Samad sedia bekerjasama dengan polis untuk memberi keterangan berhubung isu pemindahan milik tanah Felda di Jalan Semarak bernilai RM270 juta.

Bekas Pengerusi Felda itu memberitahu, setakat ini beliau belum dipanggil (polis) untuk berbuat demikian.

“Polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) panggil nanti saya datang, kena kerjasama. Tapi setakat ini belum lagi (di panggil polis).

“Tan Sri Shahrir (Pengerusi Felda) pun dah report polis, jadi biar polis siasat,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebelum ini berkata, polis sudah membentuk sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes pemindahan hak milik tanah milik Felda yang diragui.

Katanya, polis sedang mengumpulkan bukti dan keterangan sebelum mengambil tindakan lanjut, termasuk kemungkinan memanggil Isa untuk membantu siasatan.

Isa dalam pada itu enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut bagi mengelak polemik politik.

Transaksi pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak yang bernilai RM270 juta kepada syarikat Synergy Prominade Sdn. Bhd. berlaku ketika Isa menjadi pengerusi Felda sejak 2011 hingga awal Januari 2017.

Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures (FGV) pada Jun lalu sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). – 25 Disember 2017.