Mayat Hampir Tinggal Kerangka Ditemui Di Pesisir Pantai Sungai Dua

Penduduk Kampung Sungai Dua, Bachok hari ini digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang sudah mula mereput dengan kepalanya tinggal tengkorak.

Mayat yang lengkap dengan pakaian seragam pekerja pelantar minyak itu di temukan terdampar di pesisir pantai berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Ali berkata, pihaknya bergegas ke lokasi penemuan selepas menerima laporan orang ramai.

Katanya, mayat tersebut kemungkinan dihanyutkan ombak dan keadaannya yang mula mereput menyebabkan identiti mayat sukar dikenal pasti.

“Mayat itu sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat. Siasatan lanjut termasuk usaha mengenal pasti identiti mayat sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, pada bahagian kiri pakaian seragam mayat itu tertulis “Zamil Offshore”. – 25 Disember 2017.