PAS Dijangka Letak Calon Bukan Islam

PAS dijangka akan memperuntukkan kerusi kepada calon bukan Islam mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, ia adalah strategi parti Islam itu menarik sokongan pengundi bukan Islam.

“Jika kita lihat, ada kemungkinan besar model peruntukan calon bukan Islam ini akan diguna pakai PAS bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat pusat.

“Ini untuk meyakinkan pengundi bahawa PAS tidak mengetepikan golongan bukan Islam,” katanya dipetik Atro Awani.

Sebelum ini PAS Pahang mengumumkan akan meletakkan 10 peratus calon bukan Islam bertanding di kerusi Parlimen pada PRU14 nanti.

Pada PRU13, PAS yang menjadi parti komponen Pakatan Rakyat memenangi 14 daripada 73 kerusi Parlimen selain hilang negeri Kedah yang diterajuinya selama satu penggal. – 25 Disember 2017.