Segerakan Siasatan Isu Tanah Felda

PAS menganggap isu kehilangan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur merupakan kes straight forward (bersifat tidak kompleks) dan tidak memerlukan langkah rumit seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk diselesaikan.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, langkah perlu diambil pihak berkuasa terutama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah mengkaji dengan teliti kronologi sehingga berlakunya pindah milik tanah berkenaan.

“Antara yang perlu diteliti adalah keputusan Lembaga Pengarah Felda, perjanjian antara Felda dan syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd., transaksi pindah milik kepada syarikat dan kepatuhan obligasi pihak-pihak sebagaimana perjanjian.

“PAS yakin kesediaan Pengerusi Felda membuka pintu Felda untuk disiasat harus menjadi pemudahcara kepada siasatan yang perlu dibuat secara telus without fear or favour (tanpa rasa takut atau pilih kasih).

“Ini juga membolehkan siasatan dibuat dengan cepat memandangkan isu ini berkepentingan awam dan melibatkan stakeholder (pemegang taruh) yang besar iaitu peneroka Felda dan generasi warisan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyudddin turut berkata, PAS berharap siasatan terperinci kes tersebut turut memungkinkan pembongkaran skandal lain melibatkan Felda serta anak-anak syarikatnya.

Dengan ini katanya, Felda sebagai institusi amanah dapat dibersihkan daripada unsur kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Pengurusan Felda membuat laporan polis pada 12 Disember lalu mengenai kes itu selain menegaskan pihaknya akan berusaha mendapatkan semula hak ke atas tanah dianggarkan bernilai RM270 juta yang telah ditukar milik kepada Synergy Promenade.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengarahkan siasatan terperinci dilakukan selain mahu tindakan diambil jika wujud unsur kecuaian.

Sementara itu, beberapa pihak yang mempunyai kepentingan dalam Felda pula menggesa supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu berkenaan. – 25 Disember 2017.