Tukang Rumah Didakwa Seludup PATI

Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam atas pertuduhan menyeludup empat warga Myanmar, 12 Disember lalu.

Selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rashid Mustafa, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Radzi Halim, 37

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyeludup empat migran iaitu Naing Aung, Myo Elwin, Myo Min Lwin dan Soe Hwin di Pos Sekatan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Simpang Empat Salam, Rantau Panjang, 7.30 malam, 12 Disember 2017.

Lelaki berasal dari Kok Lanas, Kota Bharu itu didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan penyeludupan migran.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Siew Meng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan Selasa ini bagi sebutan semula kes. – 25 Disember 2017.