PAS Kini Parti Ultra Konservatif

PAS kini seolah-olah kian terhimpit langsung terpaksa meletakkan partinya itu menjadi ultra konservatif dalam negara yang rakyat berbilang agama, kaum dan bangsa.

Karektor itu jelas apabila presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hanya orang Islam akan ada peranan sebagai pembuat dasar, termasuk jadi anggota kabinet, dalam sebuah kerajaan parti Islam itu.

Kenyataan Hadi itu bukan sahaja bakal menjarakkan hubungan politik bukan Melayu malah secara tidak langsung akan merobekkan sokongan bukan Melayu terhadap parti Islam itu walaupun kenyataannya itu bersifat untuk menarik pengundi Melayu dan Islam.

Memetik laporan sebuah portal berita online, penganalisis politik Dr. Kartini Aboo Thalib berkata, kenyataan Hadi itu membayangkan jaminan bahawa anggota kabinet hanya akan disandang oleh kaum Melayu yang beragama Islam sahaja sekiranya PAS menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Ini taktik pancing undi orang Melayu Muslim. Kalau undi PAS dan ia menang, anggota kabinet semua Melayu Muslim. Kalau undi BN-UMNO anggota kabinet campur-campur,” katanya seperti mana disiarkan portal berkenaan.

Dalam satu tulisan yang disiarkan laman web Harakahdaily minggu lalu Hadi berkata “Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang berakidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh.”

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, kenyataan Hadi itu mengelirukan penyokong PAS sendiri, kalau betul ia hanya ingin jadi penentu dalam PRU14, seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

“Ini kerana, seorang kingmaker memerlukan kerjasama daripada semua parti tapi cakap-cakap sebegini, walaupun dapat meraih pengundi tegar dari Melayu-Islam, ia boleh menakutkan sejumlah besar pengundi bukan Melayu-Islam,” katanya.

Bagi Hisommudin Bakar dari Ilham Centre pula, kenyataan Hadi itu akan lebih menyukarkan PAS untuk dapat undi bukan Islam walaupun ia mahu mengetengahkan imej inklusif dengan meletakkan calon bukan Islam.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti parti Islam itu untuk meyakinkan pengundi Melayu atau Islam dengan berkata “adakah ini usaha PAS untuk meyakinkan pengundi Melayu-Islam bahawa parti PAS kini merupakan pembela dan juara dalam perihal umat Islam dan Melayu khususnya?”

“Kenyataan berkenaan juga menunjukkan pandangan PAS yang lebih ultrakonservatif dalam soal pemerintahan dan bakal mengundang implikasi politik dalam masyarakat yang berbilang kaum ini,” katanya kepada portal berkenaan.

Beliau berkata, pendirian Hadi itu bukan saja menunjukkan garis politik keras tetapi satu jalan berpatah balik kepada gaya politik pada era 1980-an. – 26 Disember 2017.