Kenapa Takut Sangat Dengan Husam?

Buat julung kalinya, portal berita Sokmo.Net menganjurkan program Bicara Anak Kelantan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Dato’ Husam Musa.

Program ini dinamakan Bicara Anak Kelantan “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Haji Husam Musa” yang akan membahaskan isu-isu berbangkit dalam urustadbir kerajaan yang ada.

Pemilihan Husam untuk berada di pentas penganjuran ini bukan semata-mata kerana beliau seorang ADUN, tetapi kapasitinya sebagai bekas exco kanan kerajaan sebelum disingkir lantaran kelantangannya mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Yakob.

Penganjuran ini adalah semata-mata untuk memberi pemahaman sekali gus menjawab isu-isu yang menjadi persoalan rakyat Kelantan selama ini.

Pada peringkat awalnya, program ini adalah berbentuk forum dengan tajuknya “Nasib Anak Syarikat Kerajaan Negeri Kelantan – Dulu dan Kini? dan sepatutnya akan diadakan pada malam ini di hotel Al Ansar, Kota Bharu.

Untuk makluman umum, pihak penganjur telah memilih untuk bersikap adil dengan menjemput ahli panel dari tiga wakil parti iaitu UMNO, PAS dan Amanah (yang diwakili Husam sendiri) untuk merealisasikan program tersebut.

Malangnya, pada saat-saat akhir, dua ahli panel (PAS dan UMNO) terpaksa tarik diri atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pihak penganjur menghormati keputusan mereka.

Bagaimanapun, demi kelangsungan program yang dijangka amat bermanfaat kepada rakyat ini, maka ia terpaksa diubah kepada Program Bicara Anak Kelantan “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Haji Husam Musa” selepas dua ahli panel berkenaan menarik diri.

Pelbagai bentuk promosi pihak penganjur lakukan, tanpa mengira ribuan ringgit kos dibelanjakan termasuk untuk tempahan dewan bagi memastikan objektifnya tercapai.

Namun kesulitan tidak diduga muncul hampir memusnahkan segala rancangan murni pihak penganjur. Mana tidaknya, pada saat genting (kurang 48 jam) program akan berlangsung tiba-tiba pihak Hotel Al Ansar membatalkan tempahan dewan untuk program itu.

Sedangkan tempahan dewan itu dibuat terlebih awal lagi dengan membayar wang deposit serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengurusan Hotel Al Ansar.

Alasan pihak Permodalan Kelantan Berhad selaku pemilik hotel tersebut ketika membatalkan tempahan pihak penganjur ialah kerana program itu melibatkan Husam.

Perubahan itu ternyata menyusah selain sedikit sebanyak merugikan pengurusan pihak penganjur yang telah membuat persiapan awal. Apatah lagi dalam kesempitan masa yang amat kritikal.

Biarpun agak pahit dengan tindakan itu, (ketika masapun kian genting), pihak penganjur tidak berputus asa mencari lokasi lain sebagai ganti.

Tetapi anehnya, beberapa lokasi ataupun premis-premis yang ditemukan turut memberi alasan yang sama. Tidak membenarkan pihak penganjur menyewa untuk melangsungkan program itu hanya kerana keterlibatan Husam.

Pihak penganjur tidak faham apa rasionalnya alasan mereka itu. Namun sesekali terbayang seolah-olah ini satu bentuk penganiayaan terhadap pihak penganjur. Hanya kerana Husam, tempahan awal pihak penganjur terpaksa dibatalkan. Hanya kerana Husam juga pihak penganjur tidak dibenarkan untuk menyewa dewan.

Hairan. Siapa Husam? Di mana anehnya orang yang bernama Husam ini, sampai begitu sekali cemasnya. Atau seolah-olah takut sangat mengizinkan Husam untuk seketika duduk dipentas bagi membincangkan isu-isu semasa bersama rakyat.

Apakah juga barangkali kerana Husam ini adalah ahli politik di mana ancamannya agak besar terhadap pihak-pihak tertentu lalu sewajarnya ia tidak perlu diberi ruang. Tetapi bukankah negeri ini (Kelantan) mengamalkan politik bebas. Tidakkah alasan itu bertentangan dengan prinsip politik bebas.

Tiba-tiba teringat apa yang pernah dinisbahkan oleh sesetengah orang sebelum ini, kebijaksanaan seorang Husam bersamaan 10 wakil rakyat yang lain. Mungkin itulah yang membuatkan beliau sangat ditakuti dan geruni.

Pun demikian, hasrat murni pihak penganjur tidak berakhir dengan kesulitan-kesulitan yang berliku itu. Akhirnya ada yang tidak takut mengizinkan pihak penganjur membawa Husam untuk menduduki pentas di premisnya, berbahas serta berhujah tentang isu-isu yang berbangkit, yang menjadi persoalan khususnya dalam kalangan rakyat Kelantan selama ini.

Dan Bicara Anak Kelantan “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Haji Husam Musa” insyaAllah dapat dijayakan pada tarikh dan masa yang sama (hari ini) walaupun bukan di Hotel Ansar, tanpa rasa takut sekali gus memberi kesan positif kepada semua. – 28 Disember 2017.