Cadangan PAS Pahang Akan Dirujuk Majlis Syura Ulama

Cadangan PAS Pahang yang berhasrat meletakkan 10 peratus calon bukan Islam untuk bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 ) akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulama PAS.
Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob, Pesuruhjaya PAS negeri diberi kuasa mempertimbangkan pendekatan terbaik untuk kawasan masing-masing, namun keputusan akhir masih memerlukan persetujuan pucuk pimpinan parti.
Sementara itu katanya, memandangkan cadangan PAS Pahang tersebut juga dilihat menyentuh mengenai dasar parti, ia wajar dirujuk kepada Majlis Syura Ulama serta Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
“Cadangan PAS Pahang ini untuk negeri itu sahaja, dan biasanya, jika cadangan itu berbangkit soal dasar, kita bawa ke Majlis Syura Ulama untuk buat pertimbangan.
“Sesiapapun boleh cadang tapi Majlis Syura Ulama akan putuskan layak atau tidak bukan Islam mewakili PAS. Ini dari segi kelayakan.
“Yang memutuskan calon pula ialah Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri di Dataran Ilmu, di Kota Bharu hari ini.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar baru-baru ini dilaporkan berkata, pihaknya bercadang meletakkan kira-kira 10 peratus calon bukan Islam bertanding di kerusi Parlimen pada PRU-14.
Katanya, calon berkenaan akan dipilih daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS. – 29 Disember 2017.