Pondok Beta Hilir Terbakar

Sebanyak 14 buah pondok Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Nazili Mahmood berkata, kesemua penghuni tiada di pondok ketika kejadian berlaku kira-kira 7.50 malam itu.

“Semasa kejadian mereka (penghuni) berada di suarau untuk aktiviti keagamaan,” katanya ketika dihubungi.

Nazili berkata, tiga buah jentera bersama-sama 21 anggota bomba berjaya mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran kira-kira jam 9 malam.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – 29 Disember 2017.