Lelaki Mahu BOM ICQ Rantau Panjang Ditahan

Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan selepas dipercayai mahu meletupkan Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (ICQ) dan pos Sekatan Jalan Raya (SJR) Chabang Empat, Salam di Rantau Panjang malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, suspek merupakan penduduk tempatan ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Sempadan (Aksem) kira-kira jam 11.30 malam tadi ketika melalui sekatan jalan raya itu.

“Suspek lelaki bujang beralamat Pandan Maran, Klang, Selangor, menunggang motosikal Yamaha Lagenda bersendirian melalui kawasan itu.

“Suspek agak agresif ketika ditahan anggota Aksem itu dan soal siasat dilakukan, lelaki itu mendakwa mahu meletupkan pos ini dan kompleks ICQ Rantau Panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Antara Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Superintenden Mohamed Zulmazi Che Daud dengan Superintendan Ab. Rashid Mat Daud.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki terbabit membawa kepada penemuan lima plastik mengandungi bijian dan satu plastik mengandungi serbuk berwarna kuning.

“Turut ditemui sebilah gunting, pisau, empat biji bateri AA, satu set pemutar skru, satu lilitan wayar tembaga, satu kabel USB telefon bimbit, pengecas dan paspot milik suspek di dalam beg sandang kepunyaannya,” katanya.

Katanya, suspek juga didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan senjata merbahaya dan penagihan dadah.

Kes disiasat dibawah Seksyen Sek 506 Kanun Keseksaan dan seksyen Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – 31 Disember 2017.