Mahfuz Keluar PAS

Datuk Mahfuz Omar sah keluar PAS berkuatkuasa pada jam 11.59 malam ini selepas 34 tahun menyertai parti itu sejak 1984.

Bercakap pada sidang media di Royale Signature, Alor Setar hari ini, beliau bagaimanapun belu memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Saya akan berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.

Khabar angin Ahli Parlimen Pokok Sena itu akan keluar parti itu mula bertiup sejak semalam, namun beliau enggan mengesahkan tetapi tidak juga menafikan.

“Saya hanya akan katakan sesuatu esok (hari ini). Sila hadir pada sidang media saya,” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini.

Dalam pada itu, desas desus mengatakan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah dijangka menyertai PPBM.

Ini berikutan beliau dilihat kerap hadir pada majlis PPBM dan secara terbuka menyokong Timbalan Presiden parti itu, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mahfuz turut menyokong Mukhriz ketika beliau digugurkan sebagai menteri besar Kedah di bawah kerajaan negeri sekarang pada 2014. – 31 Disember 2017.