10 Bayi Terima Sijil ADAM50

Bayi yang lahir pada 1 Januari 2018 mula menikmati Insentif khas Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Seorang suri rumah, Nur Farhana Rosdi, 28, meluahkan rasa gembira dan teruja apabila bayi perempuan yang dilahirkannya pada pukul 3.00 pagi tadi menjadi antara bayi terawal yang menikmati manfaat ADAM50.

Nur Farhana dari Kampung Merbau berkata, pemberian insentif khas ini pastinya memberi banyak manfaat kepada anak ketiganya di masa hadapan.

“Pada awalnya, saya dijangka bersalin pada 20 Januari ini, namun saya tidak menyangka akan bersalin pada tanggal 1 Januari.

“Saya bukan sahaja gembira dengan kelahiran anak perempuan yang pertama, malah ditambah dengan pemberian sijil ADAM50 daripada kerajaan. Terima kasih kepada kerajaan,” katanya ditemui di Wad Bersalin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) hari ini.

Seramai 10 bayi yang dilahirkan di antara pukul 12.01 tengah malam sehingga 10 pagi telah menerima sijil ADAM50.

Sijil itu disampaikanm oleh Timbalan Presiden Pelaburan Strategik Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datin Kartini Manaf.

Hadir sama, Pengarah HRPZ, Datin Dr. Selasawati Ghazali.

Menerusi Bajet 2018 kerajaan mengumumkan setiap anak Malaysia yang lahir antara 1 Januari tahun ini sehingga tahun 2022, akan dihadiahkan dana tabungan permulaan sebanyak RM200.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan disalurkan menerusi Unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB). – 1 Januari 2018.