Bicara Anak Kelantan Bersama Husam, Sokmo.Net Hanya Sebuah Portal

Sebelum menutup 2017. Portal ini membuat kejutan. Menampilkan Datuk Husam ke pentas Bicara Anak Kelantan “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Haji Husam Musa”. Bercerita mengenai Kerajaan PAS Kelantan.

Dahulu Husam merupakan seorang Exco kerajaan negeri. Dahulu juga beliau pemimpin PAS sehingga pernah menjejak kaki ke hierarki ketiga parti itu. Kini semua tiada lagi.

Beliau ‘dipecat’ daripada saf Kerajaan PAS Kelantan. Beliau ditewaskan dalam pemilihan parti. Sekarang, beliau hanya Ahli Dewan Undangan Negeri biasa dan terpaksa berjuang dalam parti baharu, Parti Amanah Negara bersama rakan yang disingkir.

Kami tidak menyangka forum kecil bersama Husam mendapat sambutan diluar jangkaan. Lebih 40,000 menonton secara langsung di Facebook. Di hotel Crystal Lodge pula kehadiran melimpah ruah.

Kenapa begitu ramai yang hadir. Sedangkan Husam tidak pernah berhenti bercakap. Di atas pentas ceramah sehingga ke wakaf. Tetapi masih ramai yang mahu mendengar.

Dan seperti yang dijangka, Husam yang kini Naib Presiden PAN telah mendedahkan kelemahan Kerajaan PAS Kelantan. Kelemahan yang mungkin dirasainya sepanjang berada dalam pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan tetapi tidak berdaya untuk diungkap bagi menutup aib.

Pada malam itu, ada empat perkara yang disebut oleh Husam – mungkin bersifat pendedahan, tuduhan atau dakwaan – pemilihan perkataan berdasarkan bagaimana dilihat dan ditafsir oleh pendengar.

Perkara pertama dan kedua, Husam menyebut mengenai skandal Kijang Kuari dan KPK. Kedua-duanya anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang mempunyai kaitan. Dan katanya, melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Ketiga dan keempat, cerita Husam berhubung kait dengan pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang melibatkan syarikat dua konsensi iaitu Dae Hangeru yang telah mengheret Kerajaan PAS Kelantan ke mahkamah dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. Kontrak kedua-dua syarikat ini dibatalkan atau terbatal dipertengahan jalan.

Husam menghuraikannya secara terperinci dan melibatkan perkara teknikal.

Husam huraikan perkara ini mungkin bertepatan dengan tajuk yang diberikan – “Merungkai 1001 Persoalan Bersama YB Dato’ Husam Musa”.

Dihujung forum beliau menyerahkan dokumen. Mungkin itu bukti. Maka wajiblah Kerajaan PAS Kelantan menjawab segalanyang diceritakan oleh Husam kepada seluruh rakyat. Jika tidak malulah Kerajaan PAS Kelantan yang dikatakan suci bersih ini.

Dan jika tidak benar apa yang dikatakan oleh Husam ini, maka menjadi tanggungjawab Kerajaan PAS Kelantan mengambil tindakan yang lebih keras berdasarkan undang-undang dikenakan terhadapnya. Jika tidak Husam akan terus geger sehingga kiamat.

Kata Husam lagi, Kerajaan Barisan Nasional yang tewas pada Pilihanraya 1990 di Kelantan tinggalkan beratus juta ringgit duit dalam bentuk simpanan tetap melalui dua anak syarikat Kerajaan Negeri Kelantan. Di bawah PAS dua syarikat itu kini kering kontang.

Alangkah seronoknya jika malam itu, ada wakil PAS dan UMNO juga. Barulah semuanya terungkai. Ah! Mungkin Husam terlalu hebat sehingga tidak ada siapa berani bertemu mata. Jika ada rezeki, kami akan aturkan lagi.

Itu cerita malam itu. Lihat dan renung dengan mata hati. Supaya sedar diri. Agar tidak ditipu lagi.

Kami hanya sebuah portal, bukan milik mana-mana parti politik. Hanya menyampaikan suara rakyat. Tidak perlulah ada yang membangkitkan bahawa kami ditaja dengan hanya membuat penilaian terhadap laporan kami membabitkan pemimpin tertentu. Lihatlah kami secara holistik bukan hanya dengan amarah atau nafsu politik.

Selamat Tahun Baru 2018.