JPJ Sita Rolls Royce D’Herbs

Sebanyak 20 kenderaan disita dalam Op Patuh di Jalan Bangsar, di Kuala Lumpur malam tadi.

Sebuah kereta mewah Rolls Royce dipercayai didaftarkan di bawah syarikat D’Herbs Holding Sdn. Bhd. merupakan antara 20 kenderaan yang telah disita dalam operasi tersebut kerana memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) (cukai jalan) Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, kenderaan itu menggunakan LKM Sarawak dengan bayaran kira-kira RM5,000 berbanding sekitar RM20,000 di Semenanjung.

Adalah menjadi kesalahan menggunakan kenderaan yang memilki LKM Sarawak atau Sabah, di Semenanjung.

Dalam operasi yang bermula kira-kira 8.30 malam itu, kereta mewah berkenaan disewa oleh seorang lelaki warganegara Australia sebelum disita.

Operasi tersebut turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan kekuatan anggota seramai 170 orang.

Dalam pada itu, seramai 65 warga asing dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Pakistan dan Australia ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa. – 1 Januari 2018.