Dr. Mahathir Mungkin Lupa Kata PAS

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan para mufti dalam peristiwa Memali pada tahun 1985 disifatkan sebagai tidak berasas, sekali gus menunjukkan bekas Perdana Menteri itu sudah lupa dengan situasi sebenar kejadian tersebut.

Soal Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, adakah Dr. Mahathir sedar bahawa Majlis Fatwa dan juga para mufti telah memberi pandangan bahawa amanat Haji Hadi sebenarnya bukan mengkafirkan orang Islam sehingga boleh mencetuskan perpecahan pada masa itu.

Sebaliknya kata beliau, ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika itu adalah menyentuh secara umum dengan berpandukan al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dilihat secara menyeluruh.

“Tetapi hari ini, Dr. Mahathir terus mengaitkan Allahyarham Ibrahim Libya
dengan keganasan disebabkan amanat Haji Hadi. Saya lihat tidak betul langsung,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr. Mahathir yang menyalahkan para mufti tidak menghalang peristiwa Memali daripada berlaku pada tahun 1985 sehingga mengorbankan 18 nyawa.

Tambah Hashim, beliau percaya rakyat boleh menilai siapa sebenarnya Dr. Mahathir ketika zaman pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.

“Kita dapat lihat apa yang berlaku pada zaman dia (Dr.Mahathir) di mana anak, cucunya kaya-raya,” katanya. – 2 Januari 2018.