Enam Jajahan Dijangka Dinaiki Air Mulai Esok

Enam jajahan sekitar lembangan sungai di Kelantan dijangka akan dinaiki air mulai pukul 1 pagi esok berikutan jumlah hujan melebihi 240 milimeter berlaku sejak dua hari lepas di Gunung Gagau, Gua Musang.

Menurut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha, enam jajahan itu ialah Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat.

“Diramalkan kebanyakan kawasan rendah sepanjang sungai Kelantan berisiko dinaiki air,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan berkenaan diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga selain sentiasa berhubung dengan pusat kawalan operasi banjir berhampiran.

Sementara itu, di Jeli jumlah mangsa banjir di Kuala Balah terus meningkatkan kepada 37 membabitkan 12 keluarga.

Sehingga jam 1 tengahari, kesemua mangsa dari Kampung Bukit Seraya, Kampung Baru dan Blok JPJ dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebanggaan Kuala Balah (SKKB) yang dibuka sejak malam tadi.

Mangsa dijangka bertambah berikutan fenomena air bertahan di beberapa kawasan.

Beberapa laluan termasuk jalan bawah Rantau Manis ke jalan utama Kuala Balah dan jalan Blok Kampung Baru belakang JPJ ditutup untuk semua kenderaan.

Dalam pada itu, di Kuala Krai, tiga sekolah ditutup berikutan peningkatan paras sungai yang menjadi laluan utama ke sekolah terlibat.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Ladang Taku dan SK Pasir Kelang. – 2 Januari 2017.